Jun 18, 2015
Program Keselamatan Penumpang Kanak-kanak Oleh Volkswagen - Roda Pusing Warta
Volkswagen kini menjalin kerjasama dengan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) untuk menjalankan modul latihan keselamatan penumpang kanak-kanak (CPS) di 280 pusat penjagaan kanak-kanak di seluruh negara. Latihan itu bermatlamat meningkatkan aspek keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan dan disasarkan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Pada bengkel Keselamatan Penumpang Kanak-kanak yang dianjurkan untuk media dan kakitangan Volkswagen pada hari ini, Pengarah Sumber Manusia Volkswagen Malaysia, Puan Sharifah Salmah Syed Harun berkata, “Ramai ibu bapa beranggapan cara paling selamat untuk membawa bayi adalah dengan meriba di pangkuan mereka.
Jadi, bukan perkara asing jika kita melihat kanak-kanak diriba oleh ibu atau bapa masing-masing. Kami percaya bahawa amat penting untuk mendidik orang ramai tentang betapa seriusnya perkara ini. Matlamat kami adalah untuk menukar set minda dan membantu para ibu bapa supaya mengambil langkah sewajarnya demi memastikan keselamatan anak mereka ketika berada di dalam kenderaan.”
Di Malaysia sahaja, lebih 400,000 kemalangan jalan raya direkodkan pada tahun 2012 dan kanak-kanak tidak terkecuali dalam statistik yang mengejutkan ini. Menurut laporan MIROS pada tahun 2011, kanak-kanak merupakan kumpulan pertama dan kedua yang maut akibat kemalangan. Ia melibatkan kanak-kanak berusia 1-4 tahun (43.8%) dan 5–9 tahun (30.2%).
“Kami yakin bahawa modul latihan ini akan memberi inspirasi, menggerak dan mengukuhkan langkah-langkah pencegahan kerana ia melibatkan pusat penjagaan kanak-kanak sebagai agen perubahan di komuniti masing-masing. Latihan ini juga bakal memperkasa dan mendidik kakitangan pusat penjagaan kanak-kanak tentang peranan mewujudkan kesedaran serta melindungi anak didik mereka,” kata Sharifah.
Menerusi kempen ini, para jurulatih CPS dari rangkaian PPBM akan melatih para pengendali pusat jagaan kanak-kanak untuk mendidik kira-kira 28,000 ibu bapa mengenai pentingnya penggunaan tempat duduk kanak-kanak dengan betul bagi mengelakkan kecederaan dan kematian.
Selain menjalankan model latihan CPS, Volkswagen Malaysia juga akan menyumbang sebanyak 200 unit tempat duduk keselamatan Volkswagen dan 10,000 salinan kad keselamatan jalan raya yang lengkap kepada PPBM. Ini bagi menyokong usaha mendidik dan meningkatkan kesedaran mengenai isu terbabit.
#rodapusingselamat
https://youtu.be/GJTeQl88VHU