Jul 15, 2015
TIPS 5-POINT BALIK KAMPUNG CHECK
- oleh Albakry Salehuddin
Sesuatu untuk anda semua sebelum cuti yang panjang, sesuai untuk sekeluarga. Dan juga sedikit infomasi yang berguna sebelum perjalanan pulang ke kampung.
Dikala Hari Raya makin dekat, pasti ramai yang akan pulang ke kampung halaman. Jadi, anda haruslah memastikan perjalanan pulang ke kampung selamat dan selesa.
Walaupun anda telah menghantar kereta anda untuk diselenggarakan di bengkel pilihan anda, adalah baik untuk membuat pemeriksaan kenderaan anda sendiri bagi menjamin keselamatan dan keselesaan perjalanan anda.
Disini kami lampirkan lima tips mudah untuk anda memeriksa sendiri kenderaan sebelum memulakan perjalanan.
1 – Tayar
Pastikan tayar dalam keadaan baik, bunga tayar masih mencukupi dan dipam dengan tekanan yang disyorkan.
2 – Enjin
Periksa bahagian enjin untuk sebarang kesan kebocoran, pastikan minyak enjin, cecair brek, “power steering” dan transmisi pada tahap yang mencukupi dan “fan belt” tidak kendur dan dalam keadaan yang baik.
3 – Lampu
Periksa setiap lampu untuk memastikan ia masih berfungsi, dapatkan bantuan untuk lampu brek jika perlu.
Mentol halogen yang selalunya digunakan pada lampu hadapan akan mengalami penurunan kualiti cahaya yang dihasilkan jika selalu digunakan, adalah disyorkan untuk membuat penukaran mentol setiap dua tahun.
4 – Alatan kecemasan
Pastikan alatan kecemasan lengkap dan boleh digunakan. Ini termasuk juga segitiga amaran dan juga lampu suluh. Jangan lupa untuk memastikan tayar ganti di dalam keadaan yang baik dengan memeriksa tekanan angin dan bunga tayar.
5 – Pemandu
Dan yang terakhir dan paling penting, diri anda sendiri sebagai pemandu. Pastikan cukup rehat dan tenang. Rehatkan diri anda sekurang-kurangnya sekali setiap satu jam atau satu setengah jam memandu. Jangan memaksa diri anda untuk memandu jika tidak rasa sedap hati atau kurang sihat.
https://youtu.be/XJhTR5pRc04