Pemilik Kenderaan Premium Moden Bakal Nikmati Subsidi Petrol

Pemilik Kenderaan Premium Moden Bakal Nikmati Subsidi Petrol

Nov 02, 2018

Pemilik Kenderaan Premium Moden Bakal Nikmati Subsidi Petrol Bersasar

Kami baru-baru ini diberi peluang memandu uji Mercedes-Benz C-Class W205 “facelift” yang dinaiktaraf. Salah satu varian diuji ialah C 200 Avantgarde yang kini dipacu enjin baharu iaitu unit M264 berkapasiti 1.5-liter. Enjin “twin-scroll turbo” 4-silinder itu menjana 184PS dan 280Nm tork dengan tambahan 13PS dan 160Nm tork dari EQ Boost (penghidup/alternator 48 volt).

Sejujurnya, sukar untuk menyatakan perbezaan enjin 1.5-liter itu dengan enjin 2.0-liter pada C 300 AMG Line dari segi pecutan dan penghantaran kuasa kerana pecutannya begitu lancar dan bertenaga. Cuma pada pusingan enjin melebihi 4,500 rpm, enjin 1.5-liter pada C 200 terasa agak kasar dan seperti bekerja keras.

Menariknya, pemilik C 200 yang mendapat kenderaan berkuasa dan mewah bukan sahaja dapat menikmati kadar cukai jalan lebih rendah selepas ini, malah layak menikmati subsidi bersasar untuk petrol RON95.

Melalui belanjawan 2019 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di parlimen petang tadi, kerajaan akan memberikan subsidi bersasar bagi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter kepada kenderaan berkapasiti 1.5-liter (1,500cc) dan ke bawah atau motorsikal berkapasiti 125cc dan ke bawah. Pemberian subsidi ini akan berkuatkuasa bermula suku kedua tahun depan.

Walaupun ia terhad kepada 100 liter sebulan untuk sebuah kereta dan 40 liter bagi sebuah motorsikal, ia masih suatu penjimatan sebanyak RM360 (kereta) dan RM144 (motorsikal) setiap tahun.

Dengan ini, berikut adalah contoh model-model tidak termasuk dalam subsidi bersasar:
• Proton Preve Executive CVT
Harga: RM60,610.13
Enjin: 1.6-liter DOHC
• Proton Suprima S Premium
Harga: RM77,471.61
Enjin: 1.6-liter DOHC, turbo
• Proton Exora Executive CVT
Harga: RM61,396.56
Enjin: 1.6-liter DOHC, turbo
• Proton Persona Standard CVT
Harga: RM44,433.43
Enjin: 1.6-liter DOHC, VVT
• Proton X70 (bakal dilancar)
Harga: belum diumum
Enjin: 1.8-liter turbo

Dan berikut adalah contoh model-model yang termasuk dalam subsidi bersasar:
• Audi A4 1.4 TFSI
Harga: RM206,524.72
Enjin: 1.4-liter DOHC, turbo, VVT
• BMW 318i Luxury
Harga: RM202,800.00
Enjin: 1.5-liter DOHC, turbo, VVT
• BMW i8
Harga: RM1,408,800.00
Enjin: 1.5-liter DOHC, turbo, VVT
• Mercedes A 200 Progressive Line
Harga: RM227,888
Enjin: 1.33-liter turbo, VVT
• Mercedes C 200 Avantgarde
Harga: RM259,888
Enjin: 1.5-liter twin-scroll turbo, EQ Boost
• MINI Cooper Clubman
Harga: RM211,888.00
Enjin: 1.5-liter DOHC, turbo, VVT
• Volkswagen Golf R-Line
Harga: RM173,390.00
Enjin: 1.4-liter DOHC, turbo, VVT

Tapi tidak mengapalah rasanya, kerana semua model Perodua dapat menikmati subsidi bersasar ini termasuklah SUV Perodua yang bakal dilancarkan tak lama lagi. Oleh kerana Perodua memegang 40 peratus perkongsian pasaran kenderaan penumpang dan model-model laris seperti Honda City, Jazz & BR-V serta Toyota Vios, Alza & Rush juga semuanya berenjin kapasiti 1.5 liter, maka tetaplah terjaga kepentingan rakyat marhaen.


Follow Us

Our Album