Aug 25, 2015
Baru-baru ini, Star Online telah memuatnaik rakaman video CCTV yang merakamkan kejadian pelanggaran di sebuah stesen minyak di Jalan Besar, Kluang. Rakaman menunjukkan seorang pemandu wanita telah melanggar seorang lelaki yang sedang mengisi petrol.
Siasatan awal mendapati selipar pemandu perempuan itu telah tersangkut pada pedal minyak dan telah menyebabkannya hilang kawalan. Lelaki yang berumur 70 tahun itu mengalami kecederaan teruk dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Kluang.
Justeru itu, kami di Roda Pusing ingin menasihatkan semua pemandu untuk memastikan jenis kasut yang dipakai sesuai semasa memandu untuk mengelakkan kejadian seperti ini berlaku.
Pada masa yang sama, kasut juga dapat memberi perlindungan kepada kaki anda daripada kecederaan yang mungkin berlaku disebabkan oleh hentakan dengan komponen-komponen di bawah papan pemuka sekiranya berlaku kemalangan.
Akhir sekali anda juga dinasihatkan supaya peka dengan keadaan sekeliling ketika mengisi minyak untuk memastikan keselamatan anda terjaga, Maklumlah, kejadian kebakaran dan juga kecurian makin banyak berlaku di stesen minyak kebelakangan ini.