Sep 15, 2017
UMW Toyota hari ini mula membuka tempahan untuk varian terbaharu bagi model Innova (2.0X), Fortuner (2.4 VRZ 4x4 dan 2.4 VRZ 4x2) dan Hilux. Setiap model datang dengan penambahan ciri premium luaran dan dalaman.
Toyota Innova 2.0X kini mendapat lampu hadapan LED, pakej kulit premium, kerusi pemandu dengan larasan 6-arah, kerusi kapten untuk barisan kedua dan rim aloi lebih besar. Harga bermula pada RM107,800.
Seterusnya, model Fortuner mengembangkan varian dieselnya dengan pengenalan 2.4 VRZ 4x4 dan 2.4 VRZ 4x2. Varian-varian ini dilengkapi dengan ciri ‘Mewah dan Berprestij’ seperti lampu hadapan projektor Bi-LED, lampu kabus hadapan LED, Cruise Control, kerusi kulit, pendingin hawa automatik dan Power Back Door. Unik kepada varian 2.4 VRZ 4x4 ialah ciri Downhill Assist Control (DAC). Harga bermula pada RM169,800.
Berikutan maklumbalas dan permintaan pelanggan, model Hilux pula menerima ciri Cruise Control, pendingin hawa automatik, corong pendingin hawa belakang dan ciri keselamatan seperti Vehicle Stability Control (VSC), Hill-start Assist Control (HAC) dan Active Traction Control (A-TRC). VSC juga kini didapati pada model dengan transmisi manual. Harga bermula pada RM87,200.